SEGAMAT, 17 Nov – Sebanyak 500 peluang pekerjaan ditawarkan dalam Karnival Rakyat MyFutureJobs Parlimen Sekijang 2024 yang di diadakan di Dewan Serbaguna Jalan Genuang, semalam.
Program khusus yang bertujuan untuk menyediakan peluang kerja melalui pelbagai tawaran pekerjaan daripada majikan terlibat itu adalah anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sekijang dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Segamat dan Persatuan Kebajikan Skuad Adil Sekijang.
Karnival yang disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) YB Dr Zaliha Mustafa, merangkap Ahli Parlimen Sekijang itu melibatkan 10 buah syarikat yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan kepada penduduk Segamat.
Syarikat yang turut serta dalam karnival kerjaya ini ialah IOI Palm Wood Sdn Bhd, 99 Speedmart Sdn Bhd, Heheaboard Berhad, Medivest Sdn Bhd, Bosta HQ Sdn Bhd, D’ Jue Wellness Sdn Bhd, Poliklinik Penawar Labis, ES Team Auto Sdn Bhd, IOI Plantation Sdn Bhd dan Jernih Kemboja Sdn Bhd.

Turut terlibat dalam menjayakan program mencari kerja berkenaan adalah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Tabung Haji.
YB Zaliha mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam menjayakan program yang memberi manfaat kepada golongan pencari kerja.
“Bersempena dengan MyfutereJobs ini, kita menawarkan sehingga hampir 500 peluang pekerjaan dari syarikat dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Rakyat MyFutureJobs Parlimen Sekijang 2024.
Menurut beliau, terdapat beberapa inisiatif yang dibawakan terus kepada rakyat yang disampaikan pada majlis perasmian karnival berkenaan.
“Kita telah memberi beberapa insentif kepada penduduk Sekijang yang kita laksanakan contohnya lesen memandu percuma yang diberikan dengan kerjasama JPJ kepada 23 orang yang tiada lesen memandu di kalangan ibu tunggal dan keluarga yang kurang berkemampuan.

“Kita juga memberi insentif perlindungan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) kepada 50 orang suri rumah dan ibu tunggal dengan perbelanjaan RM120 seorang.
“Mereka yang bekerja sendiri seperti penoreh, pekebun, tukang jahit, penjaja kecil, pemandu Grab dan Food Panda juga turut kita bantu menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

“Kesemua skim perlindungan ini ditaja oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sekijang bagi tahun pertama, dan saya harap caruman ini akan diteruskan oleh penerima-penerima caruman untuk masa hadapan supaya keselamatan mereka kekal terjamin,” jelas beliau.
YB Zaliha berkata, terdapat program menarik yang beliau bawa dari Wilayah Persekutuan ke Parlimen Sekijang yang diberi nama program Mata Hati Sekijang.
“Program ini istimewa kerana kita menjalankan saringan mata kepada anak-anak sekolah rendah sebab kita dapati ramai anak-anak sekolah mengalami keciciran dalam pelajaran disebabkan oleh masalah rabun mata.
“Jadi ini adalah satu inisiatif yang mungkin nampak kecil tetapi sebenarnya memberi impak kepada anak-anak supaya mereka tidak tercicir dan akhirnya berjaya meningkatkan keyakinan diri mereka untuk meneruskan pelajaran,” katanya.
Beliau juga menjelaskan, dengan kerjasama Fakulti Sains Kesihatan, UiTM dan pasukan optometri, Pusat Khidmat Parlimen Sekijang telah menaja saringan mata dan cermin mata percuma kepada anak-anak sekolah rendah.

“Baru-baru ini saringan percuma telah dibuat kepada seramai 94 orang anak-anak dan hari ini saya serahkan senyak 57 cermin mata. Daripada 57 orang yang menerima, ada 3 beradik yang ketiga-tiga mereka dikenalpasti ada masalah rabun.
“Jadi ini adalah beberapa inisiatif untuk manfaat rakyat dan saya yakin program-program sebegini akan kita teruskan di masa hadapan. MyFutureJobs ini juga mungkin akan dilaksanakan setiap tahun sebagai program tahunan”jelas beliau lagi. – INFO SEGAMAT