JOHOR BAHRU – Seramai 1.44 juta murid dan pelajar terdiri daripada Kumpulan A melibatkan Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah memulakan sesi persekolahan 2024/2025 hari ini.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Azman Adnan berkata, secara keseluruhannya, terdapat seramai lima juta murid serta pelajar mengikuti sesi persekolahan 2024/2025 dengan Kumpulan B akan memulakan sesi akademik pada hari esok.
Kumpulan B melibatkan Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
“Terdapat lima juta murid daripada (peringkat) prasekolah sehingga tingkatan enam, manakala di Johor sahaja, ada 602,619 orang (murid dan pelajar),” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di JOHOR, hari ini.
Hari pertama pembukaan sekolah sesi akademik tahun 2024 / 2025 menyaksikan kira-kira 577,844 pelajar dari Pra-Sekolah hingga Tingkatan Enam melaporkan diri di 1,192 sekolah di Negeri Johor bermula hari ini.
Sesi kali ini juga menjadi tahun kedua tiada proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) untuk minggu pertama bagi menarik minat pelajar terus bersemangat hadir ke sekolah.
Selain itu, ibu bapa dinasihatkan agar tidak risau terhadap kurikulum persekolahan sedia ada susulan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengembalikan takwim sesi persekolahan bermula Januari berbanding Mac ketika ini.
Kurikulum persekolahan tidak akan terjejas meskipun berlaku penyusunan semula takwim dan akan dilaksanakan seperti biasa dengan tempoh persekolahan iaitu 190 hari, namun cuti tempoh cuti penggal akan dipendekkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, YB Aznan Tamin turut hadir mengiringi KPPM membuat tinjauan hari pertama pembukaan sekolah bagi sesi akademik tahun 2024 / 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, bersama KPPM, pagi tadi.
Sumber: Media Digital Johor, Melaka Hari Ini