RUANGAN ini memaparkan perjalanan kerjaya seseorang individu yang menarik untuk dikongsi bertujuan memberi inspirasi khususnya kepada pembaca yang sama bidang pekerjaan. Dimulakan dengan profil pengarang Info Segamat.
Orangnya kelihatan biasa-biasa sahaja tetapi pengalaman kerjayanya apabila disingkap boleh dikatakan agak luar biasa.
Bermula dari hirarki paling bawah dalam organisasi media sebagai wartawan kemudian meningkat naik menjadi editor dan berakhir sebagai penerbit dengan mengasaskan beberapa majalah bercetak.
Tidak ramai yang berkebolehan dalam mencipta majalah berkonsepkan perniagaan dan keusahawanan. Boleh dibilang dengan jari pengusahanya disebabkan majalah berkonsepkan sedemikian tidak menghasilkan keuntungan berpanjangan berbanding majalah hiburan, wanita dan ‘Human Interest’.
Sudahlah tidak ramai, malah beliau mencipta rekod tersendiri sebagai pengarang yang paling banyak mencipta majalah berkonsepkan perniagaan dan keusahawanan di negara ini.
Jadi wartawan sekolah

Rudy AS, 48, mula melibatkan diri dalam bidang penerbitan sejak di bangku sekolah lagi apabila menjadi wartawan untuk tahun pertama dan tahun berikutnya dilantik menjadi Ketua Editor majalah Sekolah Tinggi Segamat (STS) dikenali sebagai majalah OPHIR, terbitan tahun 1994.
Bakat penulisannya dikesan dan digilap oleh guru yang juga seorang penulis buku ‘Sejarah Segamat & Mitosnya’, Drs. Ungku Mohd Zaman Tahir.
Guru Sasteranya itu yang bertanggungjawab memberi dorongan supaya beliau terus kekal menulis walaupun telah meninggalkan bangku persekolahan.
Hijrah ke Kuala Lumpur
Setelah menamatkan pengajian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), beliau berhijrah ke Kuala Lumpur dan mendapat peluang berkhidmat dengan bekas Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail iaitu Allahyarham Tuan Haji Ikhwan Nasir sebagai wartawan kadet akhbar MINGGUAN POLITIK pada Oktober 1996.

Bakat penulisan mula terserlah apabila digilap oleh mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pontian, Johor itu yang merupakan guru sebenar beliau dalam bidang kewartawanan.
Selepas beberapa bulan menjadi wartawan MINGGUAN POLITIK, beliau diberi tanggungjawab untuk menghidupkan semula sebuah akhbar pendidikan dikenali sebagai ATOM (Angkatan Terpelajar Orang Muda) yang telah lama tidak beroperasi.
Kejayaan menghidupkan semula akhbar berkenaan memberi peluang kepada beliau meraih pengalaman dalam menguruskan operasi penerbitan bermula dengan merekruit pekerja, mencari bahan, menemu bual, menulis berita, mereka bentuk (layout) dengan menggunakan perisian komputer pagemaker dan menguruskan pengiklanan.
Tawaran gaji lebih tinggi
Pada 2 Januari 1998, beliau mendapat tawaran bekerja dengan gaji yang lebih tinggi sebagai wartawan di Pustaka Wira Sdn Bhd (PWSB), syarikat penerbitan yang diterajui bekas wartawan Salleh Hamzah (Berita Harian) dan Rahmah Saad (Utusan Melayu).

Tetapi, menjadi wartawan untuk tiga majalah PESONA, IBU, dan USAHAWAN di samping penerbitan dalaman Kerajaan Negeri Selangor, BULETIN SUK, corak penulisan dan minat beliau lebih tertumpu ke arah bidang keusahawanan.
Disebabkan kecenderungan dalam menjalankan ‘assingment’ lebih kepada golongan usahawan, beliau akhirnya diberi kepercayaan oleh Editor untuk menguruskan majalah USAHAWAN SUKSES.
Melalui majalah tersebut, beliau mula nampak corak penulisan keusahawanan boleh meningkatkan ekonomi golongan pembaca dengan mempromosikan pelbagai bentuk peluang perniagaan kepada masyarakat. Minda beliau juga turut berubah dari sekadar ‘makan gaji’ kepada keinginan untuk memulakan perniagaan sendiri di bidang penerbitan media.
Berniaga majalah
Rudy AS nekad meletakkan jawatan sebagai wartawan pada tahun 2004 dan mengambil usahawan yang berjaya dalam bidang jualan langsung sebagai rakan kongsi bagi menubuhkan majalah perniagaan, MEDIA USAHAWAN.
Majalah berkenaan mencatat rekod jualan yang sangat memberangsangkan di mana Edisi Pengenalan sahaja berjaya terjual 20,000 naskhah dalam masa sebulan. Diikuti Edisi Kedua dengan jualan 10,000 naskhah.
Walau bagaimanapun, kejayaan yang dinikmati tidak kekal lama. Setelah berjaya menerbitkan sembilan keluaran majalah berkenaan, beliau akhirnya menarik diri sebagai rakan kongsi untuk memulakan perniagaan penerbitan yang baharu.
Jadi wartawan semula

Disebabkan faktor keterbatasan modal, beliau bekerja semula sebagai wartawan dengan sebuah syarikat yang menerbitkan akhbar khusus untuk kawasan Parlimen Kepala Batas, iaitu akhbar WARTA PARLIMEN KEPALA BATAS (WPKB) yang mana ibu pejabat penerbitannya di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Melalui surat khabar WPKP yang mana pada masa itu Ahli Parlimennya adalah Perdana Menteri Ke-5, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau diberi tugas untuk menemu bual secara eksklusif tokoh-tokoh politik dan juga korporat.
Berdasarkan pengalaman menjadi wartawan akhbar berkenaan juga membolehkan dirinya turut dilantik sebagai wartawan sambilan untuk penerbitan Buletin Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) iaitu BULETIN BNBBC di bawah syarikat perunding penerbitan, Creative Image Production (CIP) pada tahun 2007.

Khidmatnya sebagai wartawan selain daripada mewawancara tokoh-tokoh politik negara adalah membantu tugas-tugas Ketua Pengarang, Ramli Mohd Yusof yang menerajui syarikat CIP dalam menyusun kesemua bahan dari kulit muka hadapan hingga muka belakang yang mana semua proses editorial dilakukan di dalam bangunan Parlimen Malaysia.
Pada waktu yang sama, beliau terus berjuang untuk membina perniagaan sendiri dalam bidang penerbitan. Akhirnya bertemu dengan rakan kongsi baharu dan sepakat menerbitkan majalah berbentuk perniagaan.
Ketika masih menjadi wartawan WPKB, pada waktu lapang beliau mendapatkan pelanggan untuk majalah baharu dan usaha itu berjaya direalisasikan apabila mendapat kepercayaan daripada pelanggan-pelanggan yang pernah mengiklan dalam majalah MEDIA USAHAWAN.
Namun demikian, majalah baharu yang beliau asaskan, iaitu majalah BISNES juga tidak dapat bertahan lama, hanya berjaya terbit tiga keluaran sahaja disebabkan jenama majalah berkenaan menjadi milik orang lain. Beliau menarik diri menjadi pengarangnya.

Tidak berputus asa
Meskipun melalui pengalaman jatuh bangun dalam perniagaan, namun beliau tidak berputus asa untuk meneruskan minatnya dalam bidang penerbitan.
Pada Julai 2007, beliau mengasaskan majalah berkonsepkan perniagaan dan keusahawanan buat kali ketiga iaitu majalah SUKSES. Majalah ini telah berjaya diterbitkan lebih daripada 20 siri edisi terbuka (open market) dan edisi Keluaran Khas untuk pelanggan-pelanggan yang kebanyakannya dari syarikat jualan langsung.

Dari pengiklan majalah SUKSES lahir satu lagi majalah berbentuk perniagaan, iaitu majalah IKON yang diterbitkan khusus untuk syarikat pemasaran rangkaian Bumiputera dan kemudiannya diserah pengurusan serta hak milik jenama di bawah usahawan wanita Pulau Pinang.

Di sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Perniagaan majalah SUKSES edisi cetak terpaksa berhenti pada tahun 2012 bagi memberi tumpuan menjaga ibu tercinta yang sedang sakit kencing manis, darah tinggi dan radang sendi (Arthritis). Bagi beliau, menjaga keluarga lebih utama berbanding perniagaan. Justeru, SUKSES terhenti dengan sendiri.
Cipta media dalam talian
Dua tahun selepas pemergian ibu tercinta iaitu 2018, beliau mengasaskan portal media dalam talian, SUKSES NEWS bersama-sama rakan seperjuangan yang masih setia bersama SUKSES. Rakan ini yang sentiasa memberi galakkan untuk beliau bangkit semula. Tanpanya SUKSES dan penulisan sudah terpadam!
Di samping itu, bekas-bekas pelanggan juga turut menjadi rangsangan untuk beliau mulakan langkah kembali dari bawah bermula dengan menyediakan perkhidmatan menulis berita dan menyiarkannya di dalam portal media suksesnews.com.
Beliau kerap berulang-alik dari Segamat ke Kuala Lumpur kerana mendapat ‘job’ penulisan bukan setakat untuk portal SUKSES NEWS, malah juga mendapat tawaran membuat majalah bercetak khusus untuk pelanggan.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengasaskan media khusus untuk Daerah Segamat. Bermula secara sukarela menyiarkan maklumat di facebook rasmi ‘Info Segamat’ kini dikembangkan ke portal media infosegamat.com.
Info Segamat 2025 adalah pentas untuk beliau meneruskan kesinambungan berkarya. Begitu kronologi perjalanan kerjaya seorang pengarang.