SEGAMAT – Buat julung kalinya sambutan Hari Tentera Darat (HTD) ke 91 telah diadakan di daerah Segamat, Johor selama dua hari bermula 29 Februari 2024. Ia disambut dengan begitu meriah apabila lebih 10,000 orang bukan sahaja warga Segamat bahkan dari seluruh pelosok negara membanjiri Dataran Segamat.
Dengan membawa tema sambutan Hari Tentera Darat kali ini, Gagasan Tentera Darat dan Rakyat, Kekal Siaga, pelbagai pengisian menarik ditampilkan untuk meraikan sejarah penubuhannya yang berusia 91 tahun bersama warga Segamat termasuk perbarisan anggota serta aset Tentera Darat.
Seramai 38 pegawai dan 1,244 anggota lain-lain pangkat yang terdiri daripada 6 Detasmen perbarisan daripada elemen perkhidmatan darat termasuk kontinjen wanita terbabit dalam perbarisan yang bermula pada pukul 8 pagi itu.
Perbarisan yang diketuai Leftenan Kolonel Mohd.Shahrul Hamidon dari Batalion ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) itu turut diserikan dengan peragaan 78 aset Angkatan Tentera Darat (ATD) antaranya kereta kebal PT 91 Pendekar, meriam 155MM, kenderaan Lipan Bara, kereta perisa Gempita dan Sistem Roket Lancar Berganda (SRLB) Astros 11.
Tidak ketinggalan pertunjukan payung terjun aras tinggi oleh enam anggota Rejimen 11 Kor Grup Gerak Khas (GGK) selain lintas hormat udara oleh lima helikopter Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).
Pegawai Tabik Hormat adalah Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan. Beliau yang merupakan anak jati Segamat, Johor mengambil alih jawatan sebagai PTD yang ke-30 pada September tahun lalu.

Beliau turut menyampaikan Pisau Tentera Darat serta Penganugerahan Sijil Keberanian kepada Koperal Ronald anak Manchik yang menyelamatkan mangsa lemas di Pantai Kem Trendak, Melaka pada 13 Oktober tahun lalu.
Hadir sama Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Sofi Md. Lepi dan Ketua Polis Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah.
Selepas selesai acara perbarisan, warga Segamat mengambil kesempatan mengunjungi Pameran Kerjaya dan Aset Tentera Darat, Karnival Jualan, pemeriksaan kesihatan percuma, persembahan Buskers serta Program bersama Veteran.
Kemuncak HTD 91 adalah Persembahan Tatu Tentera Darat yang diadakan pada malam harinya.
Pelbagai persembahan menarik disajikan buat para pengunjung yang hadir seperti Tarian Kebudayaan, Tarian Perang dari 10 Briged (Para), Kawad Senyap, Pertunjukan Anjing Perang dan Pertunjukan Akrobatik Motosikal dari Army Red Warrior.
Sambutan HTD 91 ternyata telah memberi satu kenangan yang sukar dilupakan buat warga Segamat terutamanya bagi mereka yang hadir menyaksikannya secara lebih dekat persembahan anggota serta aset-aset kenderaan Tentera Darat Malaysia.
Ada di kalangan warga Segamat yang ditemui wartawan Info Segamat turut hadir menyaksikan upacara raptai HTD 91 yang diadakan bermula pada 24 hingga 28 Februari 2024.
“Dah 90 kali HTD buat di tempat lain, ini kali pertama buat di Segamat. Akan datang kita tak tahu ada lagi ke tidak. Mungkin tidak. Justeru, kami datang tak nak lepaskan peluang untuk melihat sendiri aksi-aksi Tentera Darat secara lebih dekat, biasa tengok kat tv aje,” kata Rosnah Ismail yang ditemui ketika upacara raptai.
