BSN-MyCashless-STAR-Segamat

STAR perkasakan sistem pembayaran tanpa tunai menerusi program BSN MyCashless

Read Time:2 Minute, 41 Second

SEGAMAT  – Seiring dengan perkembangan pesat teknologi digital, sistem pendidikan negara terus mengalami transformasi ke arah pendigitalan yang lebih menyeluruh. Dalam usaha menyokong aspirasi ini, Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman (STAR) dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Orijin School telah mengambil langkah proaktif melaksanakan konsep Sekolah Tanpa Tunai menerusi program BSN MyCashless.

Pegawai Pendidikan Daerah Segamat, Abdul Rahman Haji Kechik merasmikan program BSN MyCashles diiringi Guru Besar STAR, Zurayushazman Ismail (kiri) dan Penolong Naib Presiden Jabatan Deposit, Pembayaran dan Rangkuman Kewangan BSN, Wan Roslinawati Mohd Yaakob.

Program yang melibatkan penyertaan 281 murid STAR itu bertujuan memudahkan urusan pembelian di kantin dan kedai buku sekolah, di samping mendidik warga sekolah khususnya murid untuk menggunakan kaedah transaksi digital seperti kad debit dan e-dompet dalam kehidupan seharian.

Majlis pelancaran program BSN MyCashless telah disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Segamat, Abdul Rahman Haji Kechik di Dewan Al-Istiqamah, STAR. Turut hadir ialah Penolong Naib Presiden Jabatan Deposit, Pembayaran dan Rangkuman Kewangan BSN, Wan Roslinawati Mohd Yaakob.

Info BSN MyCashless Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman Segamat
Program pembayaran tanpa tunai BSN melibatkan penyertaan 281 orang murid Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman.

Dalam ucapannya, Abdul Rahman menyifatkan program tersebut sebagai satu langkah progresif dalam membudayakan penggunaan teknologi kewangan dalam kalangan murid.

“Melalui sistem transaksi digital ini, murid bukan sahaja dapat membuat pembelian secara mudah dan selamat, malah mereka turut didedahkan kepada konsep pengurusan kewangan yang lebih moden, telus dan sistematik,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa dunia kini bergerak ke arah tanpa tunai, sejajar dengan perkembangan pesat teknologi digital dan keperluan Revolusi Industri 4.0.

Menurutnya, pelaksanaan sistem ini juga selari dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia serta keutamaan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam kurikulum 2027 hingga 2036 yang memberi fokus kepada pendidikan digital.

berita BSN MyCashless Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman Segamat
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman, Zurayushazman Ismail (kiri) bersama Penolong Naib Presiden Jabatan Deposit, Pembayaran dan Rangkuman Kewangan BSN, Wan Roslinawati Mohd Yaakob menandatangani Sijil Jalinan Kerjasama sambil disaksikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Segamat, Abdul Rahman Haji Kechik.

“Program ini juga mendapat sokongan padu daripada ibu bapa, dengan penyertaan lebih 200 murid. Ini membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan literasi kewangan digital semakin meningkat,” tambah beliau.

Sementara itu, Guru Besar STAR, Zurayushazman Ismail berkata, pelaksanaan program tersebut merupakan satu detik penting yang mencerminkan komitmen sekolah dalam mendukung agenda pendigitalan pendidikan.

“Penggunaan sistem tanpa tunai ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan operasi sekolah, malah dapat mengurangkan penggunaan wang tunai, meningkatkan tahap keselamatan serta memudahkan pemantauan perbelanjaan oleh pihak sekolah dan ibu bapa,” jelasnya.

Berita BSN MyCashless Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman Segamat
Sesi bergambar bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman Segamat selepas selesai Majlis Pelancaran program BSN MyCashless.

Beliau turut percaya bahawa langkah kecil seperti ini mampu memberi impak besar dalam melahirkan generasi yang celik teknologi dan kewangan, seterusnya bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital pada masa hadapan.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada BSN dan Orijin School atas kerjasama strategik yang terjalin dalam menjayakan program tersebut.

“Kerjasama antara institusi kewangan dan pendidikan ini dilihat sebagai satu pendekatan penting dalam melahirkan generasi masa depan yang lebih bersedia, berdisiplin dan bijak mengurus kewangan dalam era digital,” jelasnya. – INFO SEGAMAT

 

About Post Author

Rudy AS

Pengarang yang telah melibatkan diri dalam bidang penerbitan media cetak selama lebih dari 20 tahun. Mengasaskan beberapa majalah untuk pelanggan di samping menjadi 'Ghoswriter' untuk penerbitan media dalaman pelanggan. Juga pengasas kepada syarikat penerbit penulisan dan penyiaran berita di bawah jenama SUKSES NEWS.
Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %
Previous post SRAB Segamat Sekolah Rendah pertama Johor laksana Program Sekolah Tanpa Tunai BSN
Close

STATISTIK

  • 5
  • 5
  • 1,402
  • 1,402
  • 2,908
  • 29