SEGAMAT – Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Segamat melakar sejarah tersendiri apabila menjadi sekolah rendah pertama di Negeri Johor yang melaksanakan Program Sekolah Tanpa Tunai BSN, sekali gus memperkukuh usaha pendigitalan sistem pembayaran dalam ekosistem pendidikan.
Program Sekolah Tanpa Tunai ini mengubah kaedah pembayaran sedia ada di kantin sekolah, kedai buku dan koperasi kepada sistem pembayaran digital tanpa wang tunai. Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan urusan transaksi, malah mendidik murid untuk mengurus simpanan dan perbelanjaan sejak usia muda.
Selain fungsi pembayaran, Kad Debit BSN atau Kad Murid turut digunakan sebagai kad pengenalan diri (ID) untuk merekod kehadiran murid ke sekolah, menjadikan sistem lebih bersepadu dan efisien.

Program ini sebenarnya telah mendapat mandat daripada Menteri Pendidikan Malaysia pada tahun 2019, dan sehingga Oktober 2025, sebanyak 243 sekolah menengah serta 9 sekolah rendah di seluruh negara telah berdaftar dengan BSN. Statistik ini mencerminkan komitmen berterusan pihak sekolah dan kerajaan dalam memperkasa pendigitalan pendidikan.
Objektif Pelaksanaan
Antara objektif utama pelaksanaan Program Sekolah Tanpa Tunai di SRAB Segamat ialah:
* Menjadikan pembayaran tanpa tunai sebagai amalan dan gaya hidup murid.
* Melancarkan secara rasmi Sekolah Tanpa Tunai di SRAB Segamat.
* Menyokong Dasar Pendidikan Digital Kementerian Pendidikan Malaysia.
Kelebihan Sistem Tanpa Tunai
Pelaksanaan sistem ini menawarkan pelbagai manfaat antaranya:
* Murid tidak perlu membawa wang tunai ke sekolah.
* Penggunaan kad yang terhad di kawasan sekolah meningkatkan kawalan keselamatan.
* Transaksi lebih pantas dan mudah.
* Rekod urus niaga boleh disemak secara dalam talian.
* Risiko kehilangan wang dapat dikurangkan.
Program Sekolah Tanpa Tunai BSN di SRAB itu telah bermula pada 12 Januari lalu di mana para pelajar menggunakan kemudahan tab untuk buat pembelian tanpa tunai di sekolah.
Majlis perasmian program berkenaan telah disempurnakan oleh wakil rasmi Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Segamat, Ustaz Ahmad Zaidan bin Abu Samah yang merupakan Penolong Pegawai PPD Pendidikan Islam pada 10 Februari 2026.

Guru Besar Puji Kerjasama Strategik
Guru Besar SRAB Segamat, Haji Mahzan bin Hassan dalam ucapan alu-aluannya, menzahirkan rasa syukur atas kejayaan pelaksanaan majlis pelancaran program tersebut.
“SRAB Segamat berbangga menjadi perintis sekolah rendah tanpa tunai di Johor, selari dengan arus pendigitalan serta ke arah pengurusan sekolah yang lebih cekap, selamat dan inovatif,” katanya.
Menurut beliau, sepanjang tempoh pelaksanaan awal, sebanyak 6,571 rekod transaksi berjaya direkodkan dengan kadar 97 peratus transaksi berjaya, manakala 57 peratus murid telah beralih kepada sistem pembayaran tanpa tunai — satu angka yang disifatkan sangat memberangsangkan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik sekolah iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Orijin School atas kerjasama padu serta sokongan berterusan dalam menjayakan sistem tersebut.
Haji Mahzan berharap pelaksanaan program ini mampu memberi manfaat menyeluruh kepada murid, ibu bapa dan pihak sekolah, di samping menjadi pemangkin kepada pembudayaan teknologi dan kewangan digital dalam kalangan murid sejak usia muda.
“Inisiatif ini bukan sekadar perubahan kaedah pembayaran, tetapi satu langkah pendidikan kewangan dan teknologi yang penting demi kecemerlangan generasi masa hadapan,” ujarnya.
— INFO SEGAMAT
